artikel ini dipetik dari http://kedahlanie.blogspot.com
SANTAN – Seorang warga emas yang sudah mencecah 98 tahun, masih sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit merbahaya seperti kencing manis dan jantung.
Timah merupakan warga emas tertua dikawasan Kampung Masjid berkata, dia mempunyai rahsia tersendiri dalam soal penjagaan kesihatan tanpa mengamalkan petua atau amalan khurafat untuk memastikan dia kekal sihat hingga ke hari ini.Menurutnya, semasa muda, dia mengambil upah menumbuk padi untuk membesarkan lima anaknya selepas kematian suami.
“Selain mengambil upah menumbuk padi di kawasan sekitar kampung, makcik juga mengerjakan sawah di samping berkebun di kawasan sekitar rumah untuk kegunaan sendiri.“
Kebanyakan tanaman yang ditanam ialah dari jenis ulam dan sayur-sayuran. Ini kerana, tanaman itu merupakan makanan harian kami sekeluarga. Kami sekeluarga lebih suka makan sayur-sayuran yang ditanam sendiri kerana lebih selamat dan tiada bahan kimia.
“Ulam kesukaan makcik ialah buah mengkudu. Setiap petang, makcik akan memetik buah itu untuk dijadikan ulam dan dibuat jus. Walaupun buah mengkudu pahit, namun ia merupakan ubat yang terbaik dalam penjagaan kesihatan,” katanya.
Dalam masa yang sama, anak bongsu Timah, Noh Mad Saman, 65, yang kini menjaganya berkata, semasa membuat pemeriksaan di klinik kesihatan berdekatan, pegawai perubatan mengesahkan ibunya tidak mempunyai sebarang penyakit kecuali masalah mata.
Menurutnya, walaupun terkejut dengan berita itu, namun dia bersyukur kerana ibunya sihat dan dipanjangkan umur jika dibandingkan dengan dirinya yang mempunyai masalah darah tinggi pada usia muda.
“Akibat tidak mahu melakukan pembedahan menyebabkan ibu tidak boleh melihat. Kami pernah membawanya ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut berkenaan dengan masalah matanya. Namun ibu menolak untuk melakukan rawatan itu kerana takut. Walaupun umurnya sudah hampir 100 tahun, ibu masih mampu berjalan. Dalam masa yang sama, ibu gemar melayan tetamu yang berkunjung ke rumah untuk melawatnya,”katanya.
Di samping itu, penduduk kampung dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan, Sabry Ahmad sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan warga emas dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk Timah.
Friday, May 14, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment